Rojo bawa Argentina ke pusingan 16
Penulis Jemputan
Jun 26, 2018 07:15 MYT
Jun 26, 2018 07:15 MYT
NIGERIA 1 ARGENTINA 2
Marcos Rojo menjadi wira buat Argentina apabila menjaringkan gol menakjubkan untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Nigeria, awal pagi tadi, yang membuatkan skuad Lionel Messi itu kekal dalam Piala Dunia.
Super Eagles sedang menuju ke pusingan 16 ketika perlawanan Kumpulan D itu berbaki empat minit tetapi voli rendah daripada Rojo menyelamatkan pasukan bimbingan Jorge Sampaoli itu dan menempah slot pertemuan dengan Perancis dalam pusingan seterusnya.
Terdahulu, Messi membawa Argentina mendahului perlawanan di St Petersburg, dengan bintang Barcelona itu meledak jaringan ke-100 Piala Dunia Russia 2018.
Selepas itu, dia berpeluang untuk menambah jaringan menerusi sepakan percuma, namun malangnya percubaannya terkena tiang ketika penjaga gol lawan, Francis Uzoho, sudah tertewas.
Tetapi setelah Javier Mascherano dipersalahkan kerana menjatuhkan Leon Balogun di dalam kotak penalti dalam satu situasi sepakan sudut tidak lama selepas babak kedua dimulakan, Victor Moses menyamakan kedudukan buat Nigeria menerusi sepakan bersahaja.
Sampaoli menghantar penyerang, Cristian Pavon, Maximiliano Meza dan Sergio Aguero, masuk sebagai pemain gantian tetapi pemain pertahanan, Rojo, tampil cemerlang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86.
Hantaran lintang daripada seorang lagi pemain pertahanan, Gabriel Mercado, jatuh tepat ke kakinya untuk disudahkan Rojo, sekali gus mengekalkan cabaran Argentina dalam Piala Dunia.
Selepas gol bergandanya dalam kemenangan Nigeria ke atas Iceland, Ahmed Musa menguji penjaga gol Argentina yang kali pertama diturunkan, Franco Armani, awal dalam permainan tetatpi percubaannya sedikit mengatasi palang.
Argentina pula membuat permulaan yang gemuruh sebelum mendahului pada minit ke-14 hasil magis Messi.
Ever Banega – dalam permulaan pertamanya dalam Piala Dunia – menemui Messi dengan satu hantaran jauh. Messi mengawal bola dengan pahanya sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan Uzoho.
Penjaga gol itu kemudian menerpa dari garisan golnya untuk menafikan Gonzalo Higuain sambil Argentina memburu gol kedua serta sekali lagi menggagalkan percubaan Messi pada minit ke-34.
Balogun menjatuhkan Angel Di Maria 25 ela dari pintu gol. Sepakan percuma Messi melepasi tembok pertahanan tapi Uzoho sempat menguis sedikit bola untuk menyinggahi tiang gol di sebelah kirinya.
Oghenekaro Etebo turut menyaksikan percubaannya tersasar sedikit dari 25 ela sebelum Rojo tampil dengan salah satu detik paling dramatik dalam sejarah moden Piala Dunia pada minit ke-86.
Mercado melarikan bola di sebelah sayap kanan dan melencongkan hantaran ke dalam kawasan penalti, dengan Rojo mengatur lariannya tepat pada masa unuk menyudahkannya tanpa Uzoho berpeluang untuk menepisnya.
Kemaraan Argentina ke pusingan 16 turut dibantu oleh kekalahan 2-1 Iceland kepada Croatia yang berlangsung serentak di Rostov Arena.
Croatia menamatkan saingan Kumpulan D di tempat teratas dengan mengumpul sembilan mata sementara Argentina (4 mata) di kedudukan kedua, Nigeria (3) ketiga, Iceland (1) keempat.