Skip to main content

Bola Sepak

Rodriguez bakal ke Milan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ricardo-rodriguez-310517.jpg
Perbincangan mengenai perpindahan pemain pertahanan Switzerland, Ricardo Rodriguez, dari Wolfsburg ke AC Milan kini sedang berjalan selepas disahkan oleh ejen pemain itu sendiri, Fabio Parisi.

Menurut Parisi, perbincangan itu tertangguh sebelum ini disebabkan Rodriguez menghadapi perlawanan play-off Bundesliga di antara Wolfsburg dan Eintracht Braunschweig, yang menyaksikan Wolfsburg menang secara agregat 2-0 serta berjaya kekal dalam liga tertinggi Jerman itu musim depan.

Pertahanan berusia 24 tahun itu hanya beraksi sekali sejak Mac disebabkan masalah kecederaan, namun Parisi menegaskan perpindahan ke Milan akan diselesaikan bila-bila masa sahaja. 

"Rundingan sedang dijalankan, kami cuma menunggu kata putus dari pihak Wolfsburg," ujar Parisi.
"Semua pihak mahu menyelesaikan perpindahan ini, Rodriguez mahu menyertai Milan dan Milan juga mahukan khidmatnya,” katanya. 

AC Milan baru melengkapkan perpindahan pertahanan Argentina, Mateo Musacchio, dari Villareal serta menyambung kontrak jurulatih, Vincenzo Montella, semalam selepas menamatkan kempen 2016-17 di tangga keenam dan layak ke Liga Europa pada musim hadapan. 

Selepas diambil alih oleh Rossoneri Sport Investment Lux yang dimiliki oleh ahli perniagaan dari China, Yonghong Li, kelab itu dijangka berbelanja besar dalam usaha untuk memantapkan skuad bimbingan Montella, termasuk cuba untuk mengekalkan penjaga gol muda, Gianluigi Donnarumma, yang bakal memasuki tahun terakhir dalam kontraknya.

Selain Rodriguez, antara nama lain yang turut bakal ke Milan adalah pemain sayap Lyon, Rachid Ghezzal.

Advertisement

Must Watch Video