BOLA SEPAK
RMS: Rakyat negara berpeluang uji fasiliti bertaraf dunia di Shah Alam
Susulan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang sudah memasuki fasa baru dalam proses pembinaannya.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menyembah maklum bahawa KSSA yang sedang dibina bukan sahaja memfokuskan untuk atlet profesional sahaja.
Ia juga menjadi hub penyatuan komuniti sukan buat rakyat Selangor dan juga orang luar Selangor untuk merasai sendiri fasiliti bertaraf dunia di tengah bandar Shah Alam.
Iklan
"Mereka bukan sahaja datang ke sini sekadar untuk menyaksikan perlawanan bola sepak domestik mahupun antarabangsa tetapi lebih daripada itu, ia merupakan tempat untuk masyarakat menghabiskan masa bersama melakukan pelbagai aktiviti lain," titah baginda.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon, amat teruja dengan progres pembinaan Stadium Shah Alam di kompleks itu yang bakal jadi rumah baru Gergasi Merah.
Lebih-lebih lagi ia turut menumpukan kemudahan kepada peminat untuk hadir ke stadium dengan lebih mudah.
"Tahniah kepada kerajaan negeri atas usaha mengaktifkan semula pusat penyatuan masyarakat ini yang mampu menarik seluruh rakyat Selangor untuk berkumpul dan beriadah," katanya.
Pembinaan KSSA kini memasuki fasa baru dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) melantik Lembaran Prospek Sdn Bhd bagi kerja pembinaan dan penyempurnaan KSSA.
Pelantikan tersebut dirasmikan menerusi majlis penyerahan surat setuju terima antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Shah Alam, Selangor yang juga dihadiri Raja Muda Selangor.
Must-Watch Video