LIGA INGGERIS
RM447 juta nilai yang baik buat Coutinho
Bekas pemain tengah Liverpool, Danny Murphy, berpendapat kelab itu bakal mendapat urus niaga yang bagus seandainya Barcelona bersetuju untuk membayar GBP80 juta (RM447 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain perancang, Philippe Coutinho.
Coutinho tampil sebagai sasaran utama kelab gergasi Catalan itu tatkala masa depan Neymar di Camp Nou menjadi tanda tanya.
Paris Saint-Germain (PSG) dikhabarkan sanggup menebus kontrak pemain Brazil itu yang bernilai GBP200 juta (RM1.12 bilion), sekaligus membuatkan Barcelona melihat kepada Coutinho sebagai pengganti.
Liverpool sering kali menegaskan Coutinho gembira berada di Anfield dan tidak ada sebarang perancangan untuk berhijrah ke LaLiga tetapi Murphy percaya ia bakal menjadi satu urus niaga yang baik buat Liverpool -- dengan syarat harga ditawarkan perlulah setimpal.
"Akan ada satu tahap di mana pemain menyuarakan keinginan untuk berhijrah, jadi kita perlu mendapatkan duit sebanyak mana yang mungkin untuk pemain itu," Murphy bercakap kepada talkSPORT.
"Jika mereka (PSG) sanggup membayar GBP200 juta untuk Neymar, kamu tidak boleh meletakkan Coutinho dalam kategori sama buat masa ini.
"Coutinho bukan bernilai GBP150 juta tetapi GBP100 juta (RM559 juta) juta? Mungkin.
"Jika Barca sedia membayar GBP80 juta (RM447 juta), itu satu urus niaga yang bagus."
Murphy turut percaya seandainya itu berlaku, ia tidak akan menjejaskan skuad kendalian Jurgen Klopp, sebaliknya yakin wang tersebut mampu dibelanjakan dengan baik.
"Saya rasa dengan adanya (Mohamed) Salah dan (Sadio) Mane di bahagian sayap, Liverpool akan lebih dinamik.
"Mereka mungkin akan kehilangan sedikit kreativiti di bahagian tengah tetapi ada sahaja pemain di luar sana yang mampu menghadirkan kelebihan sama."