Saingan pentas Asia yang bakal membuka tirai, dua kelab Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor sudah menerima habuan susulan penyertaan mereka.
ASD800,000 (RM3.5 juta) menjadi milik JDT yang mengesahkan penampilan mereka di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.
Ia diberikan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepada semua pasukan yang mengambil bahagian di peringkat liga kejohanan tertinggi Asia itu.
Jika JDT berjaya meneruskan cabaran ke pusingan 16 terakhir ACLE, mereka berpeluang menambah RM885,600 jika beraksi di pusingan 16.
Ganjaran RM1.77 juta menanti JDT dan tambahan RM2.65 juta sekiranya berjaya mara ke separuh akhir.
JDT diundi menentang pasukan kendalian Kim Pan Gon yang juga juara dua kali ACL, Ulsan HD.
Selangor, yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25, meraih RM1.3 juta apabila bakal beraksi di pusingan peringkat kumpulan.
Pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat seterusnya akan menerima bonus tambahan yang mana RM354,240 bagi pusingan 16 terakhir, RM708,480 (suku akhir) dan RM1 juta (separuh akhir).
Selaku naib juara Liga Super musim lalu, Selangor diundi bersama gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors, Muangthong United (Thailand) dan Dynamic Herb Cebu (Filipina) dalam Kumpulan H.
Stadium Astro
Sat Aug 17 2024