LIGA SUPER MSIA
Rezal Zambery hargai sumbangan pemain KDN
Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN), Rezal Zambery Yahya, tidak menyalahkan pemainnya walaupun pasukan itu dibelasah 0-7 oleh Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Sebaliknya, dia mengucapkan terima kasih kepada pemain yang sanggup datang bermain menentang Perak di sebalik masalah dalaman kelab itu.
Menurutnya, sudah lama pasukan itu tidak berlatih bersama dan dia hanya bertemu pemain sehari sebelum perlawanan.
Iklan
"Seperti yang kita tahu keadaan pasukan tidak begitu baik. Saya pun baru jumpa pemain semalam dan kami sudah lama tidak menjalani latihan bersama.
"Saya akui keadaan (kecergasan) pemain juga tidak begitu baik. Kami bermain dengan pasukan yang bagus seperti Perak, cuba untuk bertahan, mengurangkan defisit jaringan, tetapi ia tidak berlaku.
"Apapun saya memberikan penghargaan kepada pemain yang sanggup datang bermain," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sebelum ini, KDN FC dikatakan mengalami masalah dalaman hingga mendorong pemain memboikot latihan.
Bagaimanapun, Rezal turut memuji kesungguhan pemain untuk memberikan saingan kepada Perak walaupun gawang mereka dibolosi tiga gol dalam tempoh 24 minit perlawanan.
"Selepas gol tersebut pemain masih boleh memberikan saingan dan masuk separuh masa kedua, kita tahu kondisi pemain macam mana dan terpaksa buat beberapa pertukaran pemain untuk seimbangkan perlawanan.
"Tetapi, Perak sentiasa menggunakan kesempatan hasil peluang yang mereka cipta untuk jaringkan gol," katanya.
Kredit Sinar Harian
Must-Watch Video