LIGA SUPER MSIA

Regan perkemas benteng Selangor

Penulis Jemputan 10/01/2019 | 12:14 MYT
Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengesahkan pasukannya sudah melengkapkan lima pemain import dengan pertahanan dari Australia, Taylor Regan, menjadi pemain terbaru yang menandatangani kontrak bersama The Red Giants bagi musim 2019.
Regan menjadi pemain import kelima yang juga terakhir skuad itu selepas membawa masuk tiga muka baru dan mengekalkan Rufino Segovia.
Menurut Sathianathan, Regan yang juga bekas pemain import Negeri Sembilan, masih bermain dalam Liga-A.
"Semalam dia tidak bermain kerana menarik diri daripada skuad kerana ingin menyertai skuad Selangor.
"Minggu lepas dia sempat beraksi bersama Adelaide United dan kerap beraksi.
"Sebaik sahaja dia menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan, kami akan bawanya bersama untuk kunjungan pra-musim di Thailand," kata jurulatih itu.
Ini bermakna Regan akan beraksi di benteng akhir bersama pemain berdarah campuran Vietnam-Republik Czech, Michal Nguyen, yang mengisi kuota pemain import ASEAN.
Selangor juga sebelum ini menyambar pemain dari Brazil yang juga bekas pemain tengah Felcra FC, Endrick Dos Santos, dan bekas pemain Queens Park Rangers (QPR), Antonio German.
"Saya berasa sedikit lega kerana telah menandatangani slot terakhir pemain import, iaitu seorang pertahanan," katanya lagi.
;