redONE Mobile Keluar-Masuk Liga M: Awe buru musim kebangkitan bersama Negeri Sembilan

Muzaffar Musa
April 13, 2024 18:47 MYT
Pemain tengah baru Negeri Sembilam, Ikhwan Yazek, tekad menjadikan saingan Liga Malaysia musim 2024/25 bermula bulan depan sebagai musim kebangkitan buat karier profesionalnya.
Ini selepas pemain yang mesra disapa Awe itu terpaksa melupakan saingan musim 2023 gara-gara mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) sewaktu mewakili Kelantan.
Awe berharap kehadirannya dapat membantu skuad Jang itu mencapai keputusan lebih baik daripada musim lalu, terutama dalam saingan Liga Super.
Sebagai rekod, pemain berusia 24 tahun itu pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2021.
Negeri Sembilan pula menamatkan saingan liga musim lalu di tempat kesembilan dengan 27 mata hasil enam kemenangan, sembilan keputusan seri dan 11 kekalahan.
"Sebelum saya cedera, saya ada terima banyak tawaran, cuma saya tidak boleh nak terima," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Selepas saya menjalani pembedahan dan berehat lama, saya mula berfikir bahawa ia mungkin penamat saya bermain bola sepak kerana saya sudah berehat selama tujuh bulan.
"Jadi, saya mula bekerja dan Negeri Sembilan kemudian memberikan tawaran buat saya.
"Saya berbincang dengan keluarga saya untuk meminta restu dan mereka izinkan, jadi saya teruskan bermain untuk musim ini.
"Alhamdulillah, kecederaan saya juga sudah pulih sepenuhnya sejak Julai tahun lalu dan sekarang saya sedang mencari keyakinan untuk kembali beraksi," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Negeri Sembilan FC #Spekulasi Perpindahan Liga Malaysia
;