Sabah FC berpegang kepada kontrak berhubung kedudukan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, bersama The Rhinos berikutan wujud spekulasi bekas jurulatih B-23 negara itu akan meninggalkan pasukan.

Kim Swee dikaitkan untuk menggalas peranan sebagai Pengarah Akademi Mohktar Dahari (AMD) tapi bagi pengurus Sabah, Mohd Joh Wid, menegaskan khidmat Kim Swee masih diperlukan kelab berkenaan.

Terdahulu, Kim Swee dikatakan calon sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini digalas bekas Pengarah Akademi Twente Enshede, Dennis Bekking, pada 2019.




Difahamkan, sudah berlaku beberapa perbincangan membabitkan bekas pengendali kebangsaan itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN), namun belum ada keputusan dibuat.

"Dia mengikat kontrak selama beberapa tahun dan itulah yang kami mahukan.




"Kami berpuas hati dengan prestasinya.

"Sekiranya kontraknya berakhir hujung musim ini, kami akan pertimbangkan semula berdasarkan pencapaian dan Kim Swee sendiri.




"Kami sangat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaiannya bersama Sabah," kata pengurus Sang Badak, Mohd Joh Wid, di Nadi Arena sebentar tadi.

Dan Kim Swee menganggap perkhabaran itu sebagai perkara normal sebaik ada kekosongan untuk beberapa jawatan penting.

"Kami tidak pernah membincangkan untuk meninggalkan Sabah malah kami bincangkan macam mana nak anjurkan kejohanan empat penjuru, seterusnya memperkuatkan untuk mengharungi cabaran musim depan.

"Tidak pernah disentuh tentang pengundurannya, apatah lagi membincangkan jawatan lain dalam Liga Malaysia," katanya.