Pertahanan import baru Kelantan Darul Naim (KDN), Michal Jerabek, akui teruja untuk menyarung jersi Kijang emas menjelang pembukan Liga Super 2024/25 bulan depan.

Pemain tinggi lampai kelahiran Republik Czech itu berharap kehadirannya mampu mencetuskan keputusan lebih baik buat KDN berbanding musim lalu



Michal turut menyeru kesemua penyokong bola sepak Kelantan agar memberikan sokongan padu kepada pasukan itu sepanjang musim ini

Malaysia merupakan destinasi Asia Tenggara pertama pertahanan itu selepas beraksi di Slovakia dan negara kelahirannya.

"Ia satu penghormatan untuk berada di sini, bermain untuk kelab ini dan bermain dalam Liga Malaysia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Saya harap kelab ini akan berjaya dan saya harap kami dapat menggembirakan penyokong kami dan mereka akan datang menyaksikan perlawanan kami.

"Sudah pasti saya memiliki sasaran peribadi dan sasaran sepasukan.

"Saya rasa apabila kita berjaya sebagai sebuah pasukan, kita akan libah mudah untuk dilihat sebagai pemain yang berjaya.

"Bagi saya sasaran terbaik adalah untuk bermain dengan baik dan memberikan keputusan yang baik buat pasukan," katanya.

Sebagai rekod, KDN, yang sebelum ini dikenali sebagai Kelantan United, menamatkan saingan Liga Super musim 2023 di tangga ke-12 daripada 14 pasukan dengan 17 mata hasil empat kemenangan, lima keputusan seri dan 17 kekalahan.