redONE Keluar-Masuk Liga M: Terengganu guna enam pemain import
Shaiful Shamsudin
Februari 14, 2024 18:52 MYT
Februari 14, 2024 18:52 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd Sabri Abas, mengesahkan pasukan itu hanya akan menggunakan khidmat enam pemain import untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.
Ketika ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu sudah memiliki empat tonggak import iaitu penyerang, Ivan Mamut, Ismaheel Akinade, perancang tengah, Nurillo Tukhtasinov, serta Argzim Redzovic selain seorang lagi pertahanan yang dikaitkan bakal hadir sebagai kuota kelima Sang Penyu iaitu Matthew Steenvoorden.
Dalam segmen Keluar-Masuk yang dibawakan redONE di Nadi Arena hari ini, Sabri berkata: "Sekarang ini kita (Terengganu) kalau ikut masih lagi menunggu seorang lagi pemain import yang akan dibawa oleh Ketua Jurulatih kita (Tomislav).
"Sama-samalah kita nantikan kemunculan pemain import yang terakhir, Insya-Allah".
Untuk rekod, musim lalu Terengganu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keenam selain muncul naib juara Piala Malaysia 2023.