redONE Keluar-Masuk Liga M: Hubungan baik dengan Akmal Rizal bukan jaminan buat Azrie Reza di Penang
Muzaffar Musa
Februari 21, 2024 21:45 MYT
Februari 21, 2024 21:45 MYT
Hubungan akrab dengan ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, bukan jaminan buat pemain tengah, Azrie Reza Zamri, untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Penang FC.
Pemain kelahiran Alor Setar berusia 27 tahun itu mengakui perlu berusaha lebih keras, terutama dengan kehadiran beberapa pemain baru.
Musim lalu, Azrie Reza sememangnya lebih banyak beraksi di bawah bimbingan Akmal Rizal dalam skuad B-23 Penang yang bersaing dalam Piala MFL tetapi tahun ini, dia akan mewakili pasukan utama.
"Bukan satu kepastian tetapi saya akan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Penang FC tahun ini," katanya kepada wartawan, Zulhelmi Zainal Azam, menerusi segmen Keluar-Masuk Liga M yang dibawakan oleh redONE dalam Nadi Arena sebentar tadi.
"Saya akan cuba bersaing kerana ada pemain baru yang masuk, jadi saya perlu berusaha lebih lagi.
"Dia (Akmal Rizal) tahu kelebihan saya dan dia tahu apa yang saya boleh lakukan, jadi dia akan tentukan sama ada saya boleh masuk dalam perancangan taktikalnya atau tidak."
Mengulas lanjut, bekas pemain pinjaman PDRM itu menambah: "Tahun ini kami memiliki ramai pemain muda dan saya rasa tiada sebarang masalah dengan pemain muda kerana kami akan melakukan yang terbaik.
"Insya-Allah, Penang FC dapat melakukan kejutan kepada pasukan lain dengan pemain yang kami ada.
"Mana tahu jika ada rezeki saya akan dapat mewakili skuad kebangsaan. Itulah sasaran saya untuk tahun ini," katanya.
#bola sepak
#Liga Super Malaysia
#Akmal Rizal Ahmad Rakhli
#Penang FC
#Spekulasi Perpindahan Liga Malaysia
#Azrie Reza Zamri