Pemain serba boleh, Mahali Jasuli, sedang menunggu nasib keputusan pasukan yang akan ke Liga Super 2024.

Menerusi perbincangan semasa dengan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu, Mahali memberi bayangan kelibatnya bersama pasukan itu hanya menunggu lampu hijau untuk pelepasan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Syarat utama ditetapkan bekas tonggak kebangsaan itu adalah dia masih ingin mengekalkan penampilannya dalam Liga Super bagi musim 2024.

"Perbincangan berjalan dengan positif cuma kontraknya belum dimeterai lagi.

"Keutamaan saya adalah untuk terus bermain dalam Liga Super, cuma saya sedang tunggu pengesahan kedudukan kelab tertentu dalam Liga Super," katanya dalam segmen redONE Keluar-Masuk Liga-M di Nadi Terkini, sebentar tadi.



MFL sebelum ini memberi ruang kepada tiga pasukan daripada Liga M3 menyiapkan dokumentasi untuk diserapkan ke Liga Super.

Mereka adalah juara Liga M3, Imigresen, Kuala Lumpur (KL) Rovers dan Harini FT.

Tambah Mahali, sekiranya keadaan tidak memihak kepada pasukan terlibat, pencarian pasukan baru yang beraksi di Liga Super akan diteruskan.

"Pasukan Negeri Sembilan sudah selesai masalah tunggakan gaji dengan baik.

"Apa sahaja isu di antara pemain dan pengurusan, semuanya sudah diselesaikan dengan baik.

"Sebagai pemain, saya mencari pasukan yang stabil untuk memudahkan kami beri fokus kepada liga," katanya lagi.