Real Chukai FC mencipta kejutan menjuarai Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) selepas menang 3-2 ke atas Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket 3-2 dalam aksi final, kelmarin.
Mendahului menerusi Tuan Afif Nasrullah Tuan Azahar (m-18), Real Chukai hampir berputih mata menyaksikan PBSMT menjaringkan dua gol melalui Mohd Khairul Nizam Abdul Wahab (m-34) dan Wan Jamali Mohamad Nor (m-50).
Mohd Syahzwan Fitri menyamakan kedudukan 2-2 (m-90) sebelum Mohd Khairuzi Zamli muncul wira Real Chukai dengan gol kemenangan pada minit ke-105.
Skuad bimbingan Mohd Nasuha Abdullah itu memenangi RM10,000, medal dan piala iringan selaku juara manakala PBSMT terpaksa berpuas hati dengan hadiah RM6,000 berserta medal.
Kejuaraan itu disifatkan Nasuha sebagai pencapaian luar biasa buat mereka selepas bangkit daripada ketinggalan di penghujung perlawanan.
Malah, kerja keras dalam penampilan sulung TAL musim ini, menurutnya, telah membuahkan hasil selain berikrar untuk tampil lebih garang pada edisi akan datang.
“Pemain-pemain menunjukkan semangat juang dan tidak mudah berputus asa. Sudah tentu ini permulaan untuk kami mencipta lebih banyak kejayaan,” kata Nasuha.
Gambar: Liga Amatur Terengganu (TAL)
Tengku Danish Bahri
Mon Nov 27 2017