UCL

Real akan kalahkan Juventus -- Ronaldo

Penulis Jemputan 30/05/2017 | 22:44 MYT
Cristiano Ronaldo yakin peluang Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Ahad ini, dengan menegaskan pasukannya akan menewaskan Juventus di Cardiff.
Real memburu satu lagi gelaran selepas kejayaan LaLiga dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut apabila menentang juara Serie A itu, di sebalik tiada pasukan mampu mempertahankan gelaran itu selepas AC Milan ketika di bawah bimbingan Arrigo Sacchi pada 1989/90.
Dan Ronaldo, yang menjaringkan hatrik menentang Bayern Munich di peringkat suku akhir dan Atletico Madrid dalam separuh akhir, percaya Real akan meraih kejuaraan Eropah buat kali ke-12.
"Pada hari perlawanan, akan ada banyak perang psikologi dan saya lebih suka untuk tidak berfikir banyak tentang final," kata Ronaldo kepada Real Madrid TV. "Terlalu banyak rendah diri tidak baik, kami perlu membuktikan watak kami dan siapa yang terbaik.
"Mereka adalah pasukan yang cemerlang tetapi begitu juga kami. Saya mempunyai perasaan bahawa kami akan bermain perlawanan yang hebat dan kami akan menang."
Ronaldo memuji jurulatih Real, Zinedine Zidane, yang memenangi empat trofi sejak dilantik pada Januari 2016, untuk pengurusannya yang membawa skuad kepada perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
"Semua pemain bermain musim ini dan jurulatih telah membuat keputusan bijak," kata Ronaldo.
"Saya rasa sangat baik, sangat baik, sedikit tenang, tetapi ia lebih baik daripada memiliki kecederaan. Tahap fizikal lebih baik berbanding beberapa musim lalu, juga kerana saya kurang bermain, walaupun saya sendiri yang bermain paling banyak dalam pasukan. Saya rasa lebih baik berbanding beberapa tahun kebelakangan ini dan saya berharap dapat membantu pasukan dengan gol pada Ahad ini.
"Perlawanan akhir dimenangi dengan menjaringkan gol. Kami menjamin kemenangan liga dan kini kami mempunyai peluang yang unik. Kami berada di dalam masa yang luar biasa.
"Kami boleh mendapatkan gelaran berganda, mempertahankan kejuaraan dan masuk dalam sejarah Liga Juara-Juara. Ia adalah satu motivasi besar dan kini tinggal satu langkah sahaja."
#Real Madrid #Cristiano Ronaldo #Liga Juara-Juara Eropah
;