Penyokong bola sepak negara memberikan reaksi berbeza selepas menyaksikan Harimau Malaya gagal ke separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 ketika diikat Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), semalam.
Pendapat yang dilontarkan sudah tentu bersifat positif selain menuntut Harimau Malaya mempamerkan prestasi memukau pada masa akan datang.
Begitupun, segelintir peminat tempatan menyambut baik penstrukturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan pelantikan jurulatih baru untuk mengemudi barisan skuad kebangsaan menjelang tahun depan.
"Walaupun datang memberikan sokongan, namun kami juga sedikit kecewa.
"Selamat maju jaya kepada Malaysia selepas ini.
"Kami mengharapkan dengan kehadiran jurulatih baru dapat memberikan yang terbaik untuk negara," kata Mohd Hafiz Razak.
Sementara itu, ada yang memberi pandangan bahawa skuad kendalian Pau Marti Vicente harus diperkuat oleh tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana mengandungi lapisan pemain yang lebih berkualiti.
"Malaysia mempunyai banyak peluang tetapi penyudah tumpul.
"Tidak dinafikan, skuad negara memerlukan pemain daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana memiliki serangan yang lebih tajam," ulas Muhammad Farid Abd Rahim.
Di sebalik kekecewaan tersebut, pemain ke-12 Harimau Malaya tidak menyembunyikan hasratnya yang melihat beberapa kelab memanggil pulang pemain ketika tugasan bersama negara.
"Saya rasa semua penyokong mengharapkan pasukan yang lebih baik daripada semua kelab untuk memberikan kerjasama sepenuhnya melepaskan pemain bagi memastikan Harimau Malaya menampilkan persembahan cemerlang," kata Mohd Reduan Sapian.
Najmi Iman
Sat Dec 21 2024