Razman: Atur bertemu Jepun atau Korea Selatan demi persiapan ke Piala Asia
Ammar Hakim
Mac 30, 2023 18:39 MYT
Mac 30, 2023 18:39 MYT
'Kalau boleh, jumpa Jepun atau Korea Selatan', bekas pertahanan negara, Razman Roslan, mengharapkan pasukan lebih kuat sebagai lawan buat Harimau Malaya untuk persiapan ke Piala Asia 2023.
Anggota skuad Piala AFF 2010 itu percaya pertemuan menentang pasukan yang berada di ranking jauh lebih tinggi mampu menguji kemampuan sebenar anak buah Kim Pan-gon untuk mengharungi misi sukar di Qatar nanti.
Nadi Arena semalam melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia sudah mengatur dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier-1 dalam kalendar FIFA Jun nanti.
Ia membabitkan pertemuan menentang Kepulauan Solomon yang kini menghuni ranking ke-136 dunia dan Yaman di ranking ke-154 dunia.
Harimau Malaya atur dua lagi pertemuan Jun depanhttps://t.co/B38wRmgPuE
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 29, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Saya mengharapkan pasukan yang di ranking lebih tinggi sebagai persiapan yang lebih baik seperti Jepun atau Korea Selatan," kata Razman.
"Namun pihak FAM telah mengatur aksi persahabatan jadi berdepan lawan berada di ranking lebih bawah, saya mahu melihat corak permainan yang lebih memihak Malaysia, mendominasi permainan serta menguji corak serangan sebagai satu simulasi yang baik menghadapi Piala Asia nanti.
"Saya bagaimanapun tetap melihat aksi persahabatan yang telah ditetapkan baik untuk pasukan negara. Bertemu lawan seperti Kepulauan Solomon serta Yaman ini akan menguji tahap fizikal pasukan dan ia amat bagus untuk pasukan negara."