BOLA SEPAK

Razip akui persiapan Perlis masih rapuh

05/01/2017 | 22:37 MYT

Ketua jurulatih pasukan Perlis, Razip Ismail, mengakui persediaan anak buahnya menghadapi Liga Perdana musim 2017 masih rapuh dengan kekurangan dua lagi pemain import.

Setakat ini, hanya Damian Stewart dan pemain dari Korea Selatan, Park Yong Jun, sudah pun mengesahkan dua slot selaku pemain import.
Belum lagi bermula perlawanan pertama, Razip melihat anak buahnya masih tercari-cari rentak permaina, apatah lagi persediaan sepenuhnya baru bermula pertengahan bulan lalu.
Apa yang penting, dia perlu mencari dua lagi pemain import secepat mungkin untuk mengisi posisi tengah dan bahagian serangan sebelum sepak mula 20 Januari ini.
"Saya masih mencari pemain tengah kerana perlu menguatkan barisan tengah.
"Ketika ini, kami hanya memiliki pemain tempatan yang kurang berpengalaman, jadi kami mengharapkan dua lagi kuota import dapat diisi," jelas Razip.
Bekas jurulatih Pahang ini enggan meletak sasaran terlalu tinggi jika dilihat persiapan dan kemelut kekurangan dana yang berlaku sebelum ini.
Namun, dia berharap skuad kendaliannya ini terus kekal dalam Liga Perdana musim depan.
"Saya berharap kami dapat kekal dalam Liga Perdana, itu yang mustahak.
"Walaupun pemain tidak menjalani persiapan yang lengkap, kami akan tetap mencuba," tambahnya.

;