Rayuan seiring tindakan -- CEO KL City

Shaiful Shamsudin
Oktober 17, 2024 17:54 MYT
Rayuan dan pelan tindakan berjalan seiring.
Sebaik hukuman pemotongan enam mata oleh First Instant Body (FIB) Ogos lalu, Kuala Lumpur (KL) City telah tindakan drastik dengan menghantar surat yang mengharapkan pertimbangan daripada badan itu.
Ini kerana ketika itu, Kongres Bola Sepak KL belum berlaku sementara sebaik era kepimpinan baru bermula, ada perubahan sedang berjalan seperti mana janji yang telah dibuat kepada FIB.
Tindakan tanpa bukti mungkin tidak mendorong apa-apa jaminan daripada pihak FIB, sehubungan itu skuad Warga Kota bakal menghantar satu lagi surat rayuan yang turut melampirkan bukti pembayaran gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan segala hutang tertunggak menjelang hujung bulan ini.
"Pelan tindakannya iaitu soal pembayaran sudah dimulakan minggu ini.
"Saya harap rayuan akan dipertimbangkan, lebih elok didenda daripada dipotong mata.
"Selain daripada itu, tujuan utama perlawanan adalah untuk menang terutama di sebalik cabaran yang dihadapi," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard, di Nadi Arena sebentar tadi.
Berhubung hasrat KL City untuk mengubah logo pasukan, Stanley berpendapat ia adalah satu keputusan pilihan ramai yang membuktikan pengurusan baru sedang mendengar pendapat penyokong The City Boys.
Namun, Stanley berpendapat sebaik logo tersebut digunakan pada 2021, skuad Warga Kota tidak pernah terlepas dalam mencipta kejayaan saban musim dan hingga ke hari ini, KL City masih mampu bersaing dalam liga utama sekalipun terpalit dengan pelbagai isu.
"Kepimpinan sekarang sedang mendengar suara penyokong.
"Tapi kalau untuk adakan peraduan (cipta logo baru), eloklah tunggu habis saingan musim ini terlebih dahulu.
"Tidak pernah ada kelab tukar logo di pertengahan musim tapi jersi pernah ada.
"Saya rasa musim depan, kami perlu beritahu awal bahawa mengenai logo dan mendengar suara penyokong," katanya.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;