Sir Jim Ratcliffe cuba memberikan kata-kata semangat kepada penyokong selepas bersetuju untuk membeli 25 peratus saham di Manchester United, dan mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan kelab itu ke puncak dunia bolasepak 'secara serius' namun turut mengharapkan kesabaran.

United mengumumkan pada malam Krismas bahawa Ratcliffe, pengerusi INEOS, telah memuktamadkan perjanjian GBP1.25 bilion untuk memegang sebahagian kelab Liga Perdana Inggeris itu dan akan melabur lebih daripada GBP236 juta untuk membaik pulih infrastruktur kelab yang sarat hutang itu.

INEOS juga akan mengambil alih pengurusan operasi bola sepak United.


"Saya percaya kami boleh membawa kejayaan sukan di atas padang untuk melengkapkan kejayaan komersial yang tidak diragukan lagi yang telah dinikmati oleh kelab bola sepak Manchester United.

"Namun ia memerlukan masa dan kesabaran di samping ketegasan serta tahap pengurusan profesional yang tertinggi.

"Anda bercita-cita tinggi untuk Manchester United dan begitu juga kami. Tidak ada jaminan dalam sukan, dan perubahan tidak dapat dielakkan dan mengambil masa tetapi kami berada dalam United untuk jangka panjang," kata jutawan berusia 71 tahun itu dalam surat terbuka kepada Manchester United Supporters Trust.