Skip to main content

Bola Sepak

Rangnick pelik jaringan Middlesbrough tidak dibatalkan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ralf-rangnick.jpg
Ralf Rangnick berkata ia adalah 'luar biasa' selepas gol Middlesbrough dibenarkan ketika mereka menyingkirkan Manchester United daripada Piala FA awal pagi tadi.

Kelab Liga Kejuaraan itu menang menerusi penentuan penalti di Old Trafford selepas mengikat United 1-1, Matt Crooks menafikan jaringan pembukaan Jadon Sancho di sebalik bola terkena tangan Duncan Watmore ketika melancarkan serangan.

The Red Devils dihukum apabila deretan peluang yang hadir gagal dilunas selepas mereka gagal memenangi perlawanan Piala FA ke atas kelab di bawah Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat selepas 32 pertemuan.

Selepas perlawanan diheret ke penentuan penalti, pemain muda United, Anthony Elanga gagal melunaskan peluang penting apabila percubaan melayang jauh dari sasaran.

United kini tewas tujuh daripada tujuh penentuan penalti dalam semua pertandingan dan Liga Juara-Juara (UCL) adalah peluang terakhir merangkul kejuaraan musim ini selepas mereka ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu EPL, Manchester City.

"Akhirnya, gol itu tidak sepatutnya diberikan. Sungguh luar biasa ia memihak pasukan lawan," kata Rangnick kepada MUTV.

"Jelas sekali bola terkena tangan pemain lawan. Saya tidak memerlukan VAR, ia sepatutnya dilihat oleh pengadil sendiri tetapi VAR tidak sepatutnya memberikan gol.

"Setahu saya, pengadil dan VAR kata tak sengaja, kebetulan, macam mana boleh kebetulan kalau tangan ada di atas dan dia kawal bola dengan tangannya?"

Di sebalik kekecewaannya dengan gol penyamaan, Rangnick mengakui United hanya perlu dipersalahkan kerana tersingkir daripada saingan tersebut.

"Kami benar-benar kecewa," katanya. "Pemain, kakitangan, semua orang. Ini sama sekali tidak seharusnya berlaku. Kami sepatutnya mematikan permainan pada separuh masa pertama. Kami boleh dengan mudah mendahului 3-0 atau 4-0 [ke atas].

"Kami bermula dengan baik dan bermain dengan sangat baik pada keseluruhan separuh masa pertama. Pergerakan dan tempo permainan kami adalah seperti yang kami ingin lakukan. Tetapi ia hanya 1-0 dan gol seperti ini sentiasa boleh berlaku, walaupun ia tidak sepatutnya berlaku daripada perspektif kami kerana kami tidak bertahan dengan baik, kami terlalu terbuka dalam situasi serangan balas itu."


 

Advertisement

Must Watch Video