Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Ramos dalam bahaya, kata Zidane

sergioramos.jpg
Sergio Ramos berisiko mendapat kecederaan yang lebih serius seandainya tidak menjalani pembedahan meniscus, kata Zidane.

Kapten Real Madrid itu berkemungkinan besar terpaksa berehat selama dua bulan selepas menjalani pembedahan itu -- yang pasti akan menjejaskan peluang pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan LaLiga.

Pemain berusia 34 tahun itu dijangka akan terlepas kedua-dua perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atalanta dan aksi 'El Derbi' dengan Atletico Madrid pada 7 Mac depan.

Madrid mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Atletico, kepada tujuh mata hasil dua jaringan rakan seposisi Ramos di bahagian pertahanan, Raphael Varane, ketika bangkit menewaskan pasukan di tangga tercorot, Huesca, awal pagi tadi. Bagaimanapun, seteru setempat kendalian Diego Simeone itu masih memegang kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

"Amat penting untuk dia bertenang (dengan pembedahan itu)," kata Zidane kepada wartawan mengenai Ramos selepas perlawanan itu.

"Ia perlu dilakukan kerana dia dalam bahaya. Pembedahan itu berjalan dengan lancar dan ia adalah perkara terpenting. Dia akan berusaha bermula esok untuk kembali bersama kami," katanya.

Madrid menuju ke El Alcoraz dengan rekod dua kemenangan daripada enam perlawanan dalam kesemua kejohanan dan kelihatan bergelut untuk menumbangkan lawan di tangga tercorot itu, yang menghasilkan dua percubaan terkena palang sebelum Javi Galan membuka jaringan.

Tetapi Varane kembali menyamakan kedudukan selepas menyudahkan bola lantunan susulan sepakan percuma Karim Benzema yang terkena palang.

Pertahanan tengah Perancis itu sekali lagi melakukan perkara sama selepas tandukan awal Casemiro diselamatkan untuk memberikan kemenangan yang mengurangkan tekanan pengurus mereka, Zidane.
 
"Kami gembira dengan kemenangan ini.  Ia perlawanan yang sukar tetapi kami memperoleh tiga mata," tambah Zidane.

"Anda perlu terus berusaha. Musim ini masih panjang

"Ia sentiasa sukar apabila ketinggalan 0-1 kepada lawan. Kami berdepan beberapa minit yang penuh kepayahan tetapi kami kekal berada dalam permainan sambil berfikir bahawa kami mampu mengubah keadaan itu dan kami berjaya melakukannya dengan perwatakan kami," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video