Rajagobal sambut baik usaha penstrukturan Harimau Malaya

Najmi Iman
Januari 21, 2025 19:45 MYT
Penstrukturan skuad kebangsaan menerima pelbagai reaksi daripada peminat tempatan mahupun legenda pasukan bola sepak Malaysia yang berkongsi pendapat mengenai pembaharuan yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, teruja dengan idea melibatkan revolusi tersebut.
Sudah tentu, kejayaan adalah jaminan paling utama dalam melaksanakan misi penting itu.
"Saya berharap bahawa usaha yang baru ini adalah satu perjalanan yang positif. Sebagai bekas jurulatih, saya nak lihat sesuatu yang boleh dibanggakan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Rajagobal turut bangga melihat perubahan wajah skuad negara di samping menanti lebih banyak pencapaian tertinggi berjaya dilakar dan harus mengulangi kisah melayakkan diri ke Piala Asia seperti Kim Pan-gon pada 2023.
"Itulah harapan saya untuk menyaksikan Harimau Malaya bangkit bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara (ASEAN) dan Asia," tambahnya.
Untuk rekod, Rajagobal meraih gelaran juara pentas Asia Tenggara, Piala AFF 2010, dengan hanya menggunakan kekuatan pemain tempatan dan kejayaan itu masih belum mampu diulangi mana-mana jurulatih selepasnya.
;