Skip to main content

Bola Sepak

Rafinha cuba nasib di Inter

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rafinha_2.jpg
Inter Milan menyempurnakan perpindahan Rafinha dari Barcelona secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Pemain antarabangsa Brazil itu mempunyai pilihan untuk berpindah ke Serie A secara tetap, dengan Inter dibenarkan memilikinya dengan tawaran kontrak bernilai €35 juta (RM168.6j) selama tiga tahun sebelum tempoh pinjaman itu berakhir selain perlu menambah kos sebanyak €3j (RM14.4j) lagi sekiranya layak ke saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 24 tahun itu nyata bersemangat untuk menyertai kelab di mana dia berpeluang beraksi lebih kerap setelah dihimpit masalah kecederaan yang membatasi penglibatannya di Camp Nou, beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya sangat gembira dapat ke sini," kata Rafinha kepada Inter TV.

"Ia adalah satu peringkat penting dalam hidup saya dan saya mempunyai banyak keinginan untuk mendekati fasa baru dalam kerjaya saya.

"Terdapat ramai pemain hebat di Inter yang pernah mencipta sejarah. Saya mahu melakukan yang terbaik dan mencurahkan segala-galanya untuk menamatkan saingan di tahap setinggi yang boleh serta memenangi gelaran dengan jersi ini.

"Saya berharap dapat beraksi sekerap yang mungkin dan membantu pasukan mencapai matlamat kami, iaitu layak ke UCL," tambahnya.

Rafinha hanya membuat sekali penampilan pada musim ini ketika tewas 1-0 dalam pertemuan pertama suku akhir Copa del Rey kepada Espanyol minggu lalu selain terlepas sebahagian besar aksi sepanjang 2017 akibat masalah lutut.

Kehadiran pemain termahal kelab, Philippe Coutinho, dari Liverpool di samping Ousmane Dembele pada tahun lalu menyempitkan peluang Rafinha -- yang menyerlah melalui sistem akademi kelab bersama abangnya, Thiago Alcantara, yang kini bersama Bayern Munich -- untuk merebut tempat dalam pasukan utama bimbingan Ernesto Valverde itu. 

 

Advertisement

Must Watch Video