LIGA SUPER MSIA

Radu Tetap Radu! -- Khairul Fahmi Che Mat dedah faktor sertai Sabah

Saufi Tahir 29/01/2025 | 00:46 MYT
Bekas penjaga gawang utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, menjadikan kewibawaan Datuk Ong Kim Swee sebagai faktor utama pemain berusia 36 tahun itu memilih untuk menyertai Sabah.
Figura bekas jurulatih skuad muda negara itu bukan sahaja di dalam padang, tetapi Khairul Fahmi yang lebih mesra disapa 'Apek' turut beranggapan dia umpama seorang 'bapa' ketika di luar padang.
"Salah satu faktor adalah kerana Datuk Ong Kim Swee, saya rasa banyak pemain lain turut datang kerana dia. Dia punyai jaminan yang membuatkan kami bermain buat Sabah dan cipta sesuatu (kejayaan).
"Dia seorang berkaliber, memahami pemain di dalam dan luar padang. Karakter dia dalam dan luar padang berbeza, Ketika dalam padang dia boleh dianggap contoh dengan disiplin, dan di luar padang dia umpama seorang bapa," katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain Kelantan itu tidak menolak semangat kesukanan dan sokongan padu yang diberikan penyokong Sabah yang bukan sahaja tergolong dalam kalangan lelaki tetapi wanita juga.
"Penyokong Sabah fanatik demi pasukan, umpama Kelantan suatu ketika dahulu. Uniknya penyokongnya lebih kepada wanita dan bukan lelaki sahaja.
"Saya tidak pernah terfikir untuk datang beraksi buat Sabah. Saya hormati pemain Sabah yang boleh beraksi dengan baik walaupun bermain di semenanjung.
"Kepada penyokong Sabah, teruskan sokongan. Radu tetap radu. Jangan berhenti hingga kita Berjaya." tambahnya.
Tonton segmen penuh di Youtube Astro Arena.
#bola sepak #sabah #Khairul Fahmi Che Mat
;