Qaseh Rania berdepan kekangan visa, permit wakili Wolfsburg


September 16, 2024 19:36 MYT

Kemahiran, kualiti dan fizikal dimiliki pemain muda wanita negara, Qaseh Rania Khairul Najib, memikat pihak kejurulatihan VfL Wolfsburg untuk memberikan tempat dalam pasukan belia kelab gergasi Eropah itu.

Perkembangan itu dikongsikan bapanya, Khairul Najib Ibrahim, selepas pemain berusia 14 tahun itu menyertai sesi percubaan selama lima minggu dengan pasukan belia kelab Jerman itu baru-baru ini.

Ia sekali gus menjadi satu kebanggaan buat negara apatah lagi Qaseh Rania merupakan pemain wanita pertama dari Asia yang berjaya memikat kelab Jerman itu.

Malah, bakat unik anak kedua daripada empat beradik itu turut mendapat perhatian apabila kisahnya sebagai pemain bola sepak disiarkan di laman sesawang rasmi Wolfsburg dengan tajuk 'The Soccer Girl From Malaysia'.

"Alhamdulillah, selepas lima minggu sesi percubaan dengan Wolfsburg, permainan dan kebolehan Qaseh Rania ini mendapat pujian daripada pihak kejurulatihan dan mereka bersedia menyerapnya dalam pasukan belia.

"Lebih membanggakan dia dapat masuk untuk dua pasukan iaitu bawah 15 tahun (B-15) dan bawah 17 tahun (B-17). Dia satu-satunya pemain yang berusia 14 tahun beraksi dalam pasukan B-17.

"Dia juga diberikan kepercayaan untuk bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan di sana," katanya kepada Sukan Sinar.

Khairul Najib yang setia menemani anaknya sepanjang lima minggu sesi percubaan itu menjelaskan dia ketika ini sedang berusaha menyelesaikan urusan visa dan permit bagi membolehkan anaknya itu beraksi di sana.

Menurutnya, cabaran besar dihadapi terutama dalam menyediakan permit kerana beberapa kekangan, namun dia menjelaskan Wolfsburg sedia untuk membantu pemain muda terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu.

Beliau turut menjelaskan segala urusan persekolahan di sana akan diuruskan Wolfsburg sekiranya segala urusan visa dan permit dapat diselesaikan.

"Dalam masa sama, saya turut mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak iaitu kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), syarikat atau mana-mana pihak untuk membantu anak saya.

"Sebelum ini, semuanya saya uruskan sendiri, namun apabila masuk kepada proses visa dan permit ini ia menjadi rumit.

"Dari segi visa mungkin tidak menjadi masalah, tetapi permit bermain itu mungkin agak sukar kerana UEFA hanya iktiraf ranking negara satu hingga 60 sahaja kalau nak main di Eropah. Jadi, prosesnya agak rumit.

"Sayang lah jika bakat Qaseh Rania disia-siakan dan bukan mudah untuk kelab Eropah seperti Wolfsburg menawarkan tempat untuk beraksi dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ahmad Azri Zainal Nor.

Pasukan wanita Wolfsburg sememangnya cukup gah di pentas Eropah apabila pernah menjuarai Liga Juara-Juara Wanita pada 2013 dan 2014.

Dalam aksi domestik pula, mereka menjuarai saingan liga Frauen Bundesliga sebanyak tujuh kali selain 12 kali memenangi kejuaraan DFB Pokal.

Selain itu, mereka juga pernah diangkat sebagai pasukan terbaik dunia pada 2013 dan 2014. - Sinar Harian

;