Proses penyesuaian Kylian Mbappe sudah lengkap -- Ancelotti

Shaiful Shamsudin
Disember 22, 2024 10:09 MYT
Carlo Ancelotti percaya pergelutan Kylian Mbappe pada awal kariernya di Real Madrid kini telah berakhir.
Pemain Perancis itu muncul penjaring terbanyak mereka dalam LaLiga dengan menjaringkan sembilan gol dalam 15 penampilan, serta dua dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).
Dia turut menyumbangkan gol pembukaan dalam kemenangan 3-0 ke atas kelab Mexico, Pachuca, ketika mereka memenangi perlawanan akhir Piala Antara Benua pada Khamis lalu untuk menjadi pemain ketiga yang menjaringkan gol dalam setiap dua perlawanan akhir pertamanya bersama kelab itu dalam tempoh 10 tahun ini bagi mengulangi pencapaian Gareth Bale dan Marco Asensio.
"Tempoh penyesuaiannya sudah tamat. Dia sudah menunjukkan versi yang baik tentang dirinya dan masih boleh bertambah baik," kata pengurus Galacticos itu kepada pemberita.
"Dia telah pulih dengan baik daripada kecederaan kecil yang dialaminya.
"Dia bermotivasi, teruja dan gembira berada di sini.
"Dia memerlukan tempoh itu, setiap orang menempuhinya tetapi sekarang ia sudah berakhir."
#LaLiga
;