LIGA SUPER MSIA

Presiden KLFA, CEO KL City akui isu kewangan

Lukman Salleh 02/11/2023 | 08:07 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard secara terbuka memohon maaf kepada semua yang terbabit mengenai dakwaan isu tunggakan gaji yang dikatakan melanda skuad Warga Kota itu.
Dalam sidang media pada Khamis bagi menjelaskan isu terbabit, Stanley juga berkata bahawa pengurusan kelab tersebut kini dalam usaha memuktamadkan pemilikan bersama dengan dua syarikat untuk musim depan.
Tidak hanya berdepan dengan kesukaran untuk menjana keuntungan sebaliknya pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa berkorban dengan membelanjakan sumber kewangan sendiri sehingga terjeobak ke dalam isu tunggakan gaji pemain.
Malah menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad kekangan yang dihadapi KLFA sehingga memaksanya untuk mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Saya ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000, saya rasa Stanley pun lebih kurang begitu juga. Kita anggap pinjaman yang dilakukan ini sebagai komitmen kami di sini bukan untuk pegang jawatan semata-mata.

"Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000. Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan.

"Kita komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih dua bulan," jelasnya kepada media hari ini.

Kaedah penyelesaian gaji pemain secara berperingkat akan dilaksanakan memandangkan pihaknya terpaksa menunggu duit daripada sumber pihak penaja terlebih dahulu.
"Ada beberapa pemain yang gaji bulan Ogos belum dibayar tetapi kita akan selesaikan selewat-lewatnya malam esok. Jadi hanya tinggal gaji September tetapi kita akan jelaskan pada 7 November ini.

"Apa yang kita dapat, itulah yang kita ada kerana duit tidak masuk selonggok. Ia datang daripada pelbagai sumber dan tidak dikoordinasi. Jadi kita buat susunan untuk bayar kumpulan demi kumpulan," katanya lagi.

#liga super #KL City #DemiLigaKita
;