BOLA SEPAK

Presiden FIFA saran setiap negara wujudkan stadium bersempena Pele

Shaiful Shamsudin 03/01/2023 | 02:45 MYT
Gianni Infantino menyarankan setiap negara supaya menamakan sebuah stadium bersempena nama Pele sebagai penghormatan kepada legenda Brazil itu.
Pele, yang merupakan satu-satunya pemain yang menggondol Piala Dunia sebanyak tiga kali meninggal dunia minggu lalu pada usia 82 tahun.
Brazil memasuki tempoh berkabung kebangsaan selepas kematian Pele.
Keranda Pele diletakkan di bulatan tengah di Stadium Urbano Caldeira di Sao Paulo, yang merupakan pangkalan bekas kelabnya, Santos, dan presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Infantino, turut hadir dalam acara itu yang diadakan semalam.
"Kami akan meminta setiap negara di dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu stadium bersempena nama Pele," kata Infantino kepada pemberita di Brazil.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ia supaya kanak-kanak tahu kepentingan Pele."
Menamakan gelanggang sukan dengan nama bekas pemain bukanlah perkara asing dan sebagai contoh, Arena Puskas Hungary dan Arena Johan Cruyff di Amsterdam.
Kelab Serie A, Napoli, menamakan semula gelanggang keramat mereka sebagai Stadio Diego Armando Maradona bagi mengenang jasa pemain hebat Argentina itu selepas kematiannya pada 2020.
Stadium Piala Dunia Gwangju di Korea Selatan pula dinamakan sempena pengurus Belanda, Guus Hiddink, yang membawa negara itu ke tempat keempat Piala Dunia 2004.
Pele, yang menjaringkan 77 gol untuk Brazil, akan disemadikan pada waktu tempatan hari ini.
#Pele
;