Posisi Dos Santos di kem Selangor tergugat
Penulis Jemputan
Mei 8, 2019 17:31 MYT
Mei 8, 2019 17:31 MYT
Kecederaan misteri pemain import Selangor, Endrick Dos Santos, memungkinkan pemain dari Brazil itu digugurkan sebagai ganti kepada kehadiran penyerang baru, Ifedayo Omosuyi.
Dos Santos gagal beraksi dalam tempoh kurang dua bulan yang membabitkan tujuh perlawanan ekoran kecederaan.
Aksi terakhir bekas pemain Felcra FC itu ialah ketika menentang Terengganu, 29 Mac lalu, dan sehingga kini gagal menunjukkan tanda-tanda positif untuk pulih.
Situasi itu memaksa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal menggugurkan Dos Santos dalam jendela kedua perpindahan pemain yang akan berakhir hujung bulan ini.
"Sebagai pemain, saya berasakan Dos Santos sendiri pun tidak pasti mengenai situasi kecederaannya.
"Buat masa ini, pasukan perubatan sedaya-upaya (berusaha untuk membantunya agar segera pulih), jadi kalau perkembangannya tidak memberangsangkan menjelang hujung bulan ini, maka kami akan menggugurkannya," jelas Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.
Terdahulu, Gergasi Merah mendaftarkan Ifedayo sebagai penggempur baru pasukan itu bagi mengukuhkan jentera serangan sementara kedudukan seorang lagi penyerang import, Rufino Segovia, bagaimanapun masih selamat apabila dijamin kekal bersama The Red Giants walaupun hanya boleh beraksi dalam kempen Piala Malaysia, Ogos depan.
Sementara itu, FAS menafikan segala spekulasi membabitkan pertukaran pertahanan, Michal Nguyen, dengan pemain lain ketika ini.
"Ramai penyokong yang menuntut FAS supaya mengikat Shahrul Saad tetapi adalah mustahil Perak akan melepaskannya manakala Irfan Zakaria mempunyai nilai tebus kontrak bersama Kuala Lumpur.
"Penyokong perlu faham bahawa klausa pelepasan pemain tidak boleh diaktifkan ketika jendela perpindahan pertengahan musim," katanya lagi.
Selain itu, Selangor turut memiliki Sandro Da Silva yang lebih kerap beraksi sebagai penyerang kedua.