Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino setia di PSG tapi Leonardo akui mungkin tersilap langkah dapatkan Ramos

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pochettino.jpg
Leonardo mendedahkan Mauricio Pochettino tidak pernah meminta untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) walaupun dikaitkan dengan Manchester United.

Pengarah sukan kelab Ligue 1 itu turut mengakui menandatangani pertahanan yang dibelenggu kecederaan, Sergio Ramos, mungkin satu kesilapan.

Pochettino menyertai PSG pada Januari 2021 dan berpeluang menambah koleksi kejuaraan domestik musim ini iaitu gelaran liga selain meniti landasan untuk mempertahankan Coupe de France memandangkan anak buahnya mengungguli carta dengan 15 mata. 

Bagaimanapun, khabar angin terus mengaitkan Pochettino dengan kerusi panas di Old Trafford berikutan pengurus sementara, Ralf Rangnick, akan mengosongkan jawatan itu di penghujung musim ini, lebih-lebih lagi pengendali PSG itu dikatakan mempunyai ramai peminat dalam hierarki United.

Pengarah Bola Sepak United, John Murtough, minggu ini berkata bahawa proses menyeluruh untuk melantik pengurus baru sedang dijalankan, tetapi Leonardo menegaskan Pochettino tidak pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan ibu kota Perancis itu malah mereka langsung tidak pernah menghubungi calon pengganti, Zinedine Zidane.

"Sejujurnya, kami tidak memikirkan tentang perubahan terhadap kejurulatihan," kata Leonardo kepada L'Equipe. 

“Kontrak Pochettino masih mempunyai baki setahun lagi. 

"Kami tidak pernah menghubungi Zidane atau orang lain. Sebelum dia datang ke mari, Pochettino merupakan antara lima jurulatih terbaik dan dia masih begitu.

"Kemampuannya mungkin sedikit diragui tetapi dia tidak pernah meminta untuk pergi."





Mengulas mengenai Ramos, Leonardo enggan mengatakan karier pertahanan mungkin akan berakhir, tetapi menyatakan kekesalan terhadap masalah kecederaan berterusan yang dialami pemain berusia 35 tahun itu dan membayangkan bahawa kehadirannya mungkin satu kesilapan.

“Dia sihat secara fizikal ketika kami menandatanganinya,” katanya mengenai bekas kapten Madrid itu.

“Dia telah beraksi dalam lima perlawanan. Malangnya, ia tidak berjalan seperti yang kami harapkan. Sukar untuknya, untuk semua orang tetapi laporan kami jelas.

"Pada hari dia dikatakan tidak mampu beraksi lagi, ia akan menjadi jelas untuk semua orang. Tetapi ia belum berlaku lagi.

“Tidak dapat beraksi menyukarkannya untuk menjadi pemimpin tetapi kami akan terus menunggu sebelum membuat kesimpulan; musim ini belum berakhir.

"Tetapi saya tidak takut untuk mengakui kesilapan apabila saya melakukannya."

Advertisement

Must Watch Video