LIGA INGGERIS
Pochettino didakwa selepas sergah pengadil
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, didakwa melakukan tingkah laku tidak wajar oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas menyergah pengadil, Mike Dean, sejurus kekalahan 1-2 pasukannya di tangan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris, hujung minggu lalu.
Pengendali itu masuk ke padang dan dilihat memarahi Dean selepas wisel penamat dibunyikan selepas dia turut dihalau keluar pengadil itu dalam insiden terdahulu.
Kem Spurs berang dengan keputusan Dean, yang memberikan sepakan penjuru kepada Burnley, yang kemudian menjadi pencetus kepada jaringan pembukaan Chris Wood.
Pochettino, bagaimanapun, mengakui dia telah melakukan kesilapan kerana menyergah pengadil selepas tamat perlawanan.
Kenyataan daripada FA menyebut: "Mauricio Pochettino telah didakwa dengan dua pelanggaran undang-undang E3 FA dalam perlawanan menentang Burnley, Sabtu lalu.
"Pengurus Tottenham Hotspur itu didakwa melakukan tingkah laku/bahasa tidak wajar -- kedua-duanya di atas padang dan di kawasan terowong -- dalam perlawanan itu.
"Dia diberikan masa sehingga 18:00 (GMT) pada 28 Februari ini untuk menjawab pertuduhan."
Kekalahan itu memberikan kesan besar terhadap impian Spurs untuk menjuarai saingan musim ini dengan mereka kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Spurs boleh bangkit ke landasan tepat dalam pertembungan 'derby' London menentang Chelsea, Rabu ini, dengan Dean pada awalnya diletakkan sebagai pegawai keempat, namun pengadil itu dipindahkan untuk bertugas dalam perlawanan di antara Manchester City dan West Ham.