LIGA INGGERIS

Pochettino bingung dengan keputusan pengadil

Penulis Jemputan 17/09/2017 | 01:42 MYT
Mauricio Pochettino bingung dengan persembahan pengadil, Mike Dean, selepas menyaksikan pasukannya sekadar melakar keputusan seri tanpa jaringan berdepan Swansea City, malam tadi.
Spurs masih tercari-cari kemenangan pertama di Wembley musim ini selepas gagal menembusi Swansea meskipun percubaan Harry Kane singgah ke palang gol.
Dua rayuan penalti Spurs telah ditolak, dengan Martin Olsson kelihatan sengaja menggunakan tangannya bagi menghalang bola sebelum Jordan Ayew dilihat menjatuhkan Serge Aurier.
Dean menafikan dua rayuan itu, sebaliknya menghukum Aurier atas alasan bola terkena tangan pemain itu.
"Kami sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti. Apa yang tidak jelas dalam perlawanan ini adalah mengapa Mike Dean berkata bola terkena tangan Aurier?
"Jika kamu tidak pasti dengan apa yang berlaku, mengapa membuat keputusan bahawa pemain saya membuat kesalahan itu? Kami tidak bernasib baik, jadi kami perlu kembali lebih baik selepas ini.
"Kami sepatutnya mendapat sepakan penalti. Dalam situasi itu, pengadil tidak melakukan tugasnya dengan baik.
"Kami menghasilkan banyak peluang tetapi gagal dilunaskan. Saya gembira dengan persembahan mereka tetapi sekali lagi kami gagal menang di Wembley dan itu bukan petanda baik."
Sementara itu, pengendali Swansea, Paul Clement, berpuas hati dengan kebangkitan anak buahnya selepas tewas 1-0 kepada Newcastle United, minggu lalu.
"Kami bekerja keras demi satu mata ini," Clement bercakap kepada BT Sport.
"Saya bangga dengan pemain. Kami berdepan beberapa situasi cemas tetapi berjaya bertahan dengan baik.
"Kami bertahan dengan ampuh. Ini sahaja sudah cukup jadi bukti kami mampu berdepan lawan sukar tetapi masih berjaya mengutip satu mata."
;