BOLA SEPAK

Play-off kelayakan Piala Dunia: Russia buat rayuan kepada CAS

Shaiful Shamsudin 04/03/2022 | 03:00 MYT
Kesatuan Bolasepak Russia (RFU) mengesahkan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berikutan penggantungan pasukan itu oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Selasa lalu, kelab dan pasukan kebangsaan dari Russia telah dilarang daripada menyertai kesemua pertandingan di bawah kelolaan FIFA dan UEFA sehingga diberitahu kelak.
Keputusan itu diambil berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine minggu lalu lalu hingga mendorong pasukan dari negara jiran berkenaan berikrar untuk tidak akan mengadakan perlawanan dengan sebarang pihak Russia.
Di sebalik konflik di antara kedua-dua negara itu, bakal seteru Russia dalam play-off kelayakan Piala Dunia 2022 iaitu Poland, Sweden dan Republik Czech mengancam untuk menarik diri daripada peringkat kelayakan itu lalu mengundang pengumuman bersama FIFA dan UEFA.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tetapi RFU yang langsung tidak bersetuju dengan penggantungan itu membayangkan akan mencabarnya melalui undang-undang sukan antarabangsa apabila mendedahkan mereka telah mengemukakan rayuan kepada CAS.
Menurut RFU, larangan itu tidak berlandaskan undang-undang.
Russia masih berharap untuk mengambil bahagian dalam play-off pada akhir bulan ini untuk layak ke pusingan akhir di Qatar selain ingin menuntut pampasan.
Russia telah ditetapkan untuk menjadi tuan rumah kepada Poland pada 24 Mac ini dan RFU memohon perlawanan itu ditangguhkan sekiranya proses rayuan berkenaan tidak dapat diadakan secepat mungkin.
;