PIALA MALAYSIA
PKNS bukan pasukan belasahan -- Akram
Kapten PKNS, Akram Mahinan, mahu membuktikan kemampuan sebenar pasukannya dalam saingan Piala Malaysia tidak berpandukan kepada prestasi longlai dalam saingan Liga Super 2019.
Akram menegaskan dia bersama pasukan tidak mahu terus hanyut dengan kegagalan PKNS mencapai kedudukan lebih baik dalam saingan liga.
Justeru, Piala Malaysia menjadi medan utama untuk dia bersama pasukan membuktikan PKNS bukan sekadar pasukan belasahan, sebaliknya mereka memiliki hasrat besar untuk berada dalam kelompok empat terbaik Piala Malaysia.
Iklan
"Saya berharap saingan Piala Malaysia adalah pentas untuk membuktikan kebolehan sebenar kami," kata Akram.
"Saya sentiasa memberitahu kepada rakan sepasukan bahawa cabaran Piala Malaysia sangat berbeza dan mana-mana pasukan mampu mencipta kejutan dan saya berharap PKNS mampu bangkit daripada kekalahan sebelum ini sementara memerlukan kekuatan mental yang tinggi.
Turun ke Terengganu untuk aksi pertama, Akram bertekad mahu mencari kemenangan pertama sebagai pembukaan yang baik buat skuad Datuk K. Rajagobal itu.
Bonus buat PKNS apabila tiada sebarang masalah kecederaan melibatkan pemain mereka dan peluang bertemu skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan digunakan dengan sebaiknya untuk mencetak mata penuh pertama di Kuala Terengganu.
"Semua pemain sudah bersedia berdepan Terengganu. Kami berharap memberikan yang terbaik dan meneruskan momentum untuk perlawanan seterusnya."
Must-Watch Video