Skip to main content

Bola Sepak

PKNP FC harap kutip satu mata di Kuala Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asiana-pknpkel.jpg

PKNP FC berharap dapat mengutip satu mata dalam perlawanan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, berharap sedemikian menyedari tugas berat dipikul anak buahnya.

"Terengganu belum pernah tewas di gelanggang sendiri setakat ini.

"Jadi, tugas kami memang berat malam ini. Jika boleh seri sudah memadai, " katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu.

Abu Bakar berkata PKNP turun berbekal semangat kejayaan dalam dua perlawanan berturut-turut ketika menundukkan Kuala Lumpur dan Batu Dua FC.

"Dua kejayaan ini meletakkan pasukan di atas landasan betul untuk pertemuan dengan Terengganu FC.

"Saya berharap pemain mampu mengulangi rentak agar dapat mencatat keputusan memberangsangkan malam ini, " tambahnya.

Abu Bakar berkata tiga pemain utama, Muhammad Shukri Hamid, Fadhil Idris dan Mohd Ezanie Mat Salleh tidak dapat diturunkan.

Shukri masih menjalani penggantungan manakala Fadhil terpaksa disisihkan kerana mengutip enam kad kuning setakat ini. Ezanie pula masih cedera.

Begitupun, jurulatih itu yakin siapa juga yang diturunkan mampu melaksanakan tugas diamanahkan.

"Saya juga berharap empat tenaga import, iaitu Thomas Abbey, Yashir Islame, Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez berupaya untuk mengawal bentuk pasukan, " katanya.
 
 

Advertisement

Must Watch Video