Skip to main content

Bola Sepak

PKNP FC buru kemenangan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

abu-bakar-fadzim.jpg
PKNP FC memburu kemenangan apabila turun menentang UiTM FC dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Piala Malaysia di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Selepas tumpas 1-2 kepada Petaling Jaya City dalam perlawanan pembukaan, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berharap anak buahnya akan bangkit untuk meletakkan kembali pasukan itu di landasan yang betul.

"Ini peluang terbaik untuk mengutip mata penuh kerana kami bertemu lawan yang sama taraf.

"Jadi, saya berharap pemain memberikan sumbangan dan komitmen terbaik mereka dalam perlawanan ini," katanya.

Abu Bakar berkata kemenangan itu juga penting bagi mengembalikan keyakinan pihak pengurusan tertinggi PKNP FC.

Menurutnya, PKNP FC juga berharap untuk membawa kembali bekas Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, ke dalam pasukan.

Zainol Fadzi meletak jawatan sebagai mengotakan janjinya selepas PKNP FC tersingkir ke Liga Perdana.

"Memang pasukan terkesan dengan tindakannya kerana beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

"Kami memang berharap beliau kembali kepada pasukan tetapi sebelum itu, perlu meyakinkannya dengan pencapaian yang baik dalam Piala Malaysia serta berharap Menteri Besar Perak membuat pelantikannya semula," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video