PJBM saran wajibkan penolong jurulatih tempatan miliki lesen pro
Shaiful Shamsudin
November 16, 2024 17:32 MYT
November 16, 2024 17:32 MYT
Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menghantar cadangan mewajibkan penglibatan jurulatih lesen profesional bukan hanya terarah kepada ketua jurulatih semata-mata.
Kredibiliti peranan itu diperkasakan menerusi pembaharuan yang menuntut seseorang jurulatih itu perlulah berstatus lesen profesional.
Hal ini didedahkan Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee, yang mengesahkan cadangan ini bakal dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum dibawa ke persetujuan jawatankuasa exco.
"Kemungkinan MFL akan menukar syarat(melibatkan) ketua jurulatih dan penolong jurulatih perlu mempunyai lesen profesional.
"Itu dalam perancangan dan akan diputuskan dalam Jawatankuasa Teknikal FAM, ia telah dibincangkkan.
"Ini tahap terakhir, selepas ini keputusan akan dibawa kepada pihak atasan untuk ditentukan dalam jawatankuasa exco.
"Jika itu berlaku, ia bagus untuk jurulatih tempatan. Pada masa sama, kelab tidak semestinya kelab akan melantik jurulatih tempatan dan masih memilih jurulatih import.
"Kami cuba lakukan yang terbaik tetapi terpulang kepada kelab masing-masing," katanya di Nadi Weekend hari ini.