PIALA FAM
PJ Rangers tekad gunakan peluang
Setelah tiga musim kempunan, kelab PJ Rangers tidak rela terlepas lagi slot ke Liga Perdana musim depan menjelang dua aksi separuh akhir Piala FAM menentang Selangor United pada 28 dan 31 Ogos ini.
Pemenang aksi separuh akhir Piala FAM akan mengisi slot ke Liga Perdana 2019 dan situasi itu menjadi keutamaan PJ Rangers musim ini selepas membentuk skuad yang dibarisi pemain muda.
Di bawah kendalian jurulatih, Hassan Sazali Waras, PJ Rangers yang turut dibarisi beberapa bekas pemain Harimau Muda, dilihat mampu menamatkan penantian sejak 2015.
Iklan
"Saya akan gunakan sepenuhnya pengalaman yang dimiliki bersama pasukan Harimau Muda serta skuad kebangsaan untuk melayakkan PJ Rangers ke Liga Perdana, musim depan.
"Mungkin PJ Rangers sudah jemu dalam Piala FAM dan saya tahu mereka telah mencuba selama tiga musim," kata Hassan.
Dalam masa sama, ketua pasukan, Ronny Harun, berpesan kepada pemain muda dalam skuad agar tidak terlalu tertekan memikirkan aksi separuh akhir berdepan Selangor United.
Dia mengakui pengalaman yang ada pada sebahagian pemain dalam pasukan lawan perlu ditangani dengan berhati-hati oleh rakan sepasukannya.
"Apa yang merisaukan saya adalah persiapan diri sendiri untuk menghadapi aksi selepas ini. Apabila terlalu mengambil mudah, kita boleh tewas walaupun berdepan pasukan yang tidak kuat.
"Bagi saya, fokus itu penting," ujar Ronny.
Must-Watch Video