PIALA FA
PJ Rangers menang 6-1, Sazali belum puas hati
Kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers, tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan besar 6-1 berdepan wakil dari Negeri Sembilan, Majlis Daerah Jempol, dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium MBPJ, semalam.
Skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu turun dengan hampir kekuatan penuh kecuali Tommy Mawat Bada yang mendapat pelepasan kerana bakal melangsungkan perkahwinan.
Sejak awal lagi, PJ Rangers menguasai segenap aspek dan membuka tirai jaringan melalui Ahmad Azriddin Rosli pada minit ke-12 sebelum Nur Shamie Iszuan Amin melebarkan kedudukan lima minit kemudian.
Iklan
Namun, juara Liga Piala Menteri Besar Negeri Sembilan itu tidak mahu mengalah apabila Mohd Hafiza Abdul Rahman merapatkan jurang pada minit ke-22.
Rentak dalam babak kedua berubah sebaik Nur Shamie meledak jaringan kedua peribadi pada minit ke-48, diikuti gol daripada Muhd Ariff Muhd pada minit ke-58.
Raslam Khan Abdul Rashid, yang dimasukkan selaku pemain gantian, melengkapkan kemenangan besar PJ Rangers selepas menyudahkan dua gol berturut-turut pada minit ke-80 dan 86.
"Saya belum berpuas hati dengan tahap sebenar yang mereka harus persembahkan. Dengan melepaskan satu gol, saya belum berpuas hati dengan barisan pertahanan saya.
"Ini dikatakan perlawanan pemanas badan," kata jurulatih PJ Rangers, Hassan.
Sementara itu, jurulatih MD Jempol, Mohd Tarmizi Mahamed Hanifah, berkata: "Pada mulanya kami cuba buat yang terbaik. Kami akan perbaiki kesilapan, terutama daripada segi kecergasaan, kerana kami dibarisi pemain amatur."
Selain PJ Rangers, turut mara ke pusingan kedua adalah Kementerian Kewangan (MOF) FC, Kuching FA dan Shahzan Muda FC.
Must-Watch Video