SERIE A
Pioli terpukau semangat juang pemain Milan
VERONA 1 MILAN 3
Stefano Pioli 'jatuh cinta' dengan barisan pemain Milan yang bangkit untuk menewaskan Hellas Verona 3-1 bagi mengekalkan nasib Scudetto di tangan mereka.
Marco Faraoni membolehkan Verona mendahului selepas 38 minit permainan di Bentegodi, awal pagi tadi, sebelum penyudah Sandro Tonali -- yang beraksi pada hari lahirnya yang ke-22 -- mengimbangi kedudukan sebelum rehat.
Tonali sekali lagi menemui rentak jaringan sebaik empat minit memasuki separuh masa kedua sebelum pemain gantian, Alessandro Florenzi, mengesahkan kebangkitan keempat Milan dan dua daripadanya ketika menentang Verona.
Rossoneri kembali memimpin Serie A bagi menamatkan pemburuan Scudetto pertama sejak 2010-11 untuk dua mata di depan Inter dengan baki dua perlawanan.
Lantas, pengurus Milan itu cukup gembira ketika bercakap dengan DAZN selepas perlawanan sambil memuji anak buahnya yang tidak pernah jemu berjuang.
"Saya amat menyayangi pemain saya," kata pengurus tempatan itu.
“Saya tahu mereka pasti mampu lakukan dan menempuhi rintangan ini.
"Keberanian dan kepercayaan wujud menerusi pengalaman anda. Hari ini kami ketinggalan walaupun bermula dengan baik tetapi kami tetap percaya kepada diri sendiri dan langkah demi langkah kami mengharungi segala rintangan. Kami perlu kekal begini.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan hari ini tetapi kami sudah memikirkan perlawanan seterusnya menentang Atalanta (di laman sendiri Isnin depan) yang akan menjadi rumit."
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Rafael Leao, yang mencipta empat peluang terbaik, turut mencuri tumpuan apabila menghasilkan dua bantuan jaringan dan lariannya di sayap kiri menghasilkan umpanan gol kepada Tonali.
Pioli pantas memuji duo Milan itu atas usaha mereka menentang Verona.
“Mereka masih muda tetapi mantap,” katanya mengenai Leao dan Tonali.
"Saya pernah berpesan kepada mereka pada hari kedua kem latihan musim panas lalu.
"Kini saya menemui dua pemain berbeza berbanding di penghujung musim lalu."