PIALA AFF
Piala Suzuki AFF: Zaquan Adha yakin Malaysia mampu tewaskan Vietnam
Bekas kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, yakin Malaysia mampu menewaskan Vietnam dalam perlawanan penting saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF di Stadium Bishan malam esok.
Akan tetapi, skuad negara perlu mengekalkan kekuatan mental yang baik seperti yang ditunjukkan dalam dua perlawanan pertama -- menentang Kemboja dan Laos -- seandainya mahu menumbangkan pasukan di ranking ke-99 dunia itu.
Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, penyerang Negeri Sembilan FC itu, yang pernah mengetuai skuad kebangsaan dalam edisi 2018 tetapi tidak terpilih dalam saingan kali ini, berkata: "Tiada apa yang mustahil untuk pasukan Malaysia melakar kemenangan. Apa yang penting, mereka perlu melakukan tugas dengan baik -- bermain dengan sehabis baik.
Iklan
"Bertemu Vietnam, ia lebih kepada permainan mental, jadi kita perlu mengawal mental kita di dalam padang.
"Saya tahu Vietnam akan mengganggu emosi pemain kita tetapi apa yang penting, pemain kita perlu fokus daripada awal sehingga ke akhir permainan.
"Jangan beri mereka peluang untuk mengganggu mental kita," katanya.
Sebagai rekod, Malaysia memulakan kempen edisi ini dengan menewaskan Kemboja 3-1 sebelum Safawi Rasid menjaringkan hatrik sewaktu membenam Laos 4-0 dalam perlawanan kedua Khamis lalu.
Must-Watch Video