Kami pemain yang sedang berkorban untuk negara, kata penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad, mengenai 21 pemain yang masih kekal berjuang demi nama negara dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura ketika ini.
Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mempertahankan kemampuan skuad negara selepas berdepan kritikan peminat kerana dianggap beraksi longlai biarpun mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan B semalam.
Harimau Malaya memulakan kempen kali ini dengan serba kekurangan, di mana ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, hanya dapat membawa 23 pemain menyeberangi Tambak Johor sebelum dua daripadanya -- Khairulazhan Khalid (penjaga gol) dan Faisal Halim (pemain tengah) -- terpaksa dikuarantin selama 10 hari berikutan positif COVID-19.
Biarpun hanya tinggal 21 pemain daripada keseluruhan 30 kuota yang diperuntukkan, Syafiq menegaskan bahawa mereka akan setia berjuang demi nama negara walaupun ramai beranggapan mereka bukanlah barisan terbaik bagi edisi ini.
"Bagi saya, kebanyakan pemain yang datang ke sini, boleh dikatakan mereka semua adalah pemain yang berkorban," katanya dalam sidang media secara maya seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Kami datang ke sini dengan serba kekurangan tetapi setiap pemain yang berada di sini telah berjanji untuk memberikan yang terbaik dan membuktikan bahawa kekurangan itu tidak akan kelihatan di mata orang lain."
Syafiq turut berharap penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula, tidak dikritik secara keterlaluan kerana ia akan menyulitkan lagi tekanan yang dihadapi penyerang kelahiran Brazil itu.
Dia yakin De Paula mempunyai satu kualiti untuk dibuktikan dalam aksi kedua menentang Laos di Stadium Bishan petang Khamis ini.
"Bagi saya, dia (De Paula) sudah mencuba untuk melakukan yang terbaik tetapi mungkin waktunya belum tiba untuk dia menjaringkan gol.
"Sebagai seorang penyerang, sudah pasti dia akan kecewa apabila dua atau tiga percubaannya tidak dapat menghasilkan gol.
"Saya dapat lihat bahawa dia cuba membuktikan sesuatu untuk membantu pasukan," katanya lagi.
Muzaffar Musa
Tue Dec 07 2021