BOLA SEPAK
Piala Super Sepanyol: Kajian bantu Courtois julang Madrid
REAL MADRID 0 ATLETICO MADRID 0
(Madrid juara selepas menang penentuan penalti 4-1)
Thibaut Courtois mendedahkan bahawa kajian lewat yang dilakukan terhadap sepakan penalti Atletico Madrid membantunya untuk tampil sebagai wira Real Madrid menjulang Piala Super Sepanyol di Jeddah, Arab Saudi awal pagi tadi.
Madrid memastikan kejuaraan ke-11 itu dengan mengungguli penentuan sepakan penalti 4-1 selepas aksi 'derby' itu berkesudahan 0-0 dalam waktu sebenar.
Iklan
Malang buat Atletico apabila sepakan Saul Niguez terkena tiang sebelum Courtois menafikan usaha Thomas Partey, sekali gus membuktikan prestasinya kini semakin meningkat bersama pasukan gergasi LaLiga berkenaan.
Courtois berkata dia sentiasa yakin untuk menyelamatkan sepakan Partey dan gembira merekodkan satu lagi perlawanan tanpa dibolosi.
"Saya melakukan kajian sepakan penalti di bangku pemain," kata penjaga gol itu seperti yang dilaporkan AS.
"Saul agak memeranjatkan tetapi saya sudah amat jelas mengenai Thomas.
"Dia menyepaknya dengan amat keras dan kuat.
"Saya amat gembira untuk sekali lagi tidak dibolosi dan aksi menyelamat yang baik.
"Ia amat penting," katanya.
Madrid kekurangan seorang pemain pada penghujung masa tambahan apabila Federico Valverde dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Alvaro Morata, yang dalam situasi mampu menjaringkan gol.
Courtois memuji pasukannya, yang akan melayani kunjungan Sevilla dalam LaLiga hujung minggu ini, kerana menyelamatkan keadaan itu.
"Kami amat gembira.
"Ia perlawanan yang sukar untuk berdepan Atletico.
"Gaya permainan mereka sentiasa menunggu kesilapan daripada pihak lawan.
"Mereka beberapa kali memanfaatkan keadaan.
"Saya menyelamatkan beberapa keadaan dan Fede juga melakukannya.
"Saya fikir saya mampu menghentikan Alvaro tetapi dia meloloskan diri dan Fede melakukan terjahan.
"Kami memanfaatkannya sebaik mungkin dan kami pasukan yang lebih yakin dalam penentuan penalti," tambahnya.
Editor: Muzaffar Musa
Must-Watch Video