Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur (KL) City, Safee Sali, menjadikan pentas Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai titik tolak untuk membakar semangat kelab Warga Kota agar mencipta gemilang lebih besar pada musim 2022.

Dia sedia melunaskan janjinya dalam menawarkan sumbangan bermakna seandainya diberikan minit permainan di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

"Saya mengharapkan langkah yang baik untuk menghadapi musim baru.

"Saya harap perlawanan esok KL City membawa permainan yang baik, mencipta peluang yang banyak, menjaringkan gol yang memberikan kemenangan," katanya.




Malah, Safee, 38 melaungkan kemahuan tingginya di sebalik deretan kejuaraan ketika bersama JDT sepanjang 2013-2017 termasuk Piala AFC 2015 sebelum melengkapkan koleksi trofi tempatannya menerusi Piala Malaysia musim lalu.

"Sudah pasti saya mahu membawa balik piala ini.

"Satu bonus kalau dapat menjaringkan gol tapi semuanya kepada percaturan permainan dan jurulatih.

"Yang penting KL City sudah bersedia untuk perlawanan esok," katanya.