Piala Sumbangsih akan kembali ke format asal apabila perlawanan tersebut akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, jika perlawanan tersebut diadakan secara berasingan daripada jadual liga, ia akan menyebabkan pembaziran seminggu kalendar liga.
Menurutnya, apabila tempoh seminggu itu dijimatkan, ia akan memberikan lebih ruang kepada agenda nasional yang melibatkan persediaan pasukan Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Asia pada 2024.
"MFL telah mencuba untuk memastikan satu perlawanan di luar Liga Super diadakan musim lalu, namun ia akan menyebabkan kekangan kalendar yang diperlukan dalam liga.
"Jadi, kita kembali ke format sedia ada digunakan sebelum ini. Kami rasa semua penyokong faham situasi ini dan akan memberikan kelebihan satu minggu dalam saingan liga," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM pada Khamis.
Piala Sumbangsih yang akan dilangsungkan pada 23 Februari ini akan menemukan Juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Naib Juara Liga Super, Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Untuk rekod, aksi Piala Sumbangsih musim lalu buat pertama kalinya diadakan di luar jadual liga.
Kredit: Sinar Harian
Muhammad Zakwan Nazaraly
Thu Jan 26 2023