Piala Shopee: KL City tidak mahu masalah kecederaan rencat impian ke separuh akhir
Shaiful Shamsudin
Januari 22, 2025 11:41 MYT
Januari 22, 2025 11:41 MYT
Pemain di bangku simpanan mampu menjadi penentu nasib Kuala Lumpur City dalam saingan Piala Shopee Kejohanan Kelab ASEAN, malam esok.
Anak buah Miroslav Kuljanac itu yang menghuni tangga ketiga akan menyambut kunjungan pendahulu Kumpulan B, Cong An Ha Noi, di Cheras dan kemenangan akan membuka peluang untuk mereka layak ke separuh akhir menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan dengan Buriram United,
"Persiapan kami tidak sempurna tapi kami tidak mahu merungut kerana aksi malam esok penting untuk kami.
"Ini mungkin peluang untuk kami melakukan sesuatu bagi kemaraan ke separuh akhir.
"Pemain di bangku simpanan sedia menunjukkan kualiti mereka, kami perlu berjuang demi maruah di atas padang.
"Skuad saya mengalami ramai senarai kecederaan panjang, tiada apa yang boleh diubah.
"Pemain saya akan berjuang, tidak akan berputus asa di sebalik masalah kecederaan dan jadual padat.
"Kami akan berdepan pasukan handalan Vietnam tetapi mengenali anak-anak buah saya, segalanya adalah mungkin," katanya di sidang media sebentar tadi.
Sementara itu, pemain tengah skuad Warga Kota, Kenny Pallraj, senada dengan ketua jurulatihnya biarpun skuad itu diulit masalah penggantungan dan kecederaan.
"Main di tempat sendiri, kami akan berikan cabaran yang kuat.
"Pemain KL City berpengalaman luas dan saya tidak fikir kami perlu memotivasikan mereka lagi," katanya.