BOLA SEPAK MSIA

Piala Shopee: Brendan, Safawi mampu rencana kemaraan KL City, Terengganu

Shaiful Shamsudin 20/01/2025 | 02:47 MYT
Dua wakil negara dalam saingan Piala Shopee bagi merebut Kejuaraan Kelab ASEAN, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur City, kini mungkin sekadar menduduki tangga keempat dan ketiga Kumpulan A dan B tetapi dua pemain berstatus bintang itu optimis laluan ke separuh akhir masih dalam jangkauan mereka.
Bagi pemain sayap berpengalaman Terengganu, Safawi Rasid, biarpun prestasi skuad Peteh dalam saingan Piala Shopee kurang konsisten, dia percaya pasukannya berupaya bangkit dalam dua aksi getir selepas ini.
Sang Penyu ketika ini sekadar mencatat empat mata selepas tiga perlawanan dan wajib merakam kemenangan ke atas PSM Makasar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu ini serta aksi berdepan kelab Thailand, BG Pathum United, pada 5 Februari depan di laman lawan untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir.
“Peluang itu masih ada dan kerana itu saya harap rakan sepasukan semua bersedia mengerah segala kudrat dalam dua aksi selepas ini kerana kami amat memerlukan mata maksimum.
“Sudah tentu kejayaan menewaskan wakil Myanmar Shan United 5-0 di laman lawan Rabu lalu memberikan motivasi buat kami berdepan PSM dan juga BG Pathun United nanti.
“Saya juga berasa lebih tenang beraksi musim ini serta turut berpuas hati dengan prestasi saya musim ini. Saya rasa lebih fokus menghadapi setiap perlawanan,” kata Safawi dalam majlis pameran Jelajah Piala Shopee di Kuala Lumpur.
Nada sama turut disuarakan tonggak tengah berpengalaman Kuala Lumpur City, Brendan Gan, yang menyifatkan pasukannya mempunyai pengalaman menjelmakan aksi baik dalam saingan seperti Piala Shopee sebelum ini iaitu ketika muncul juara Piala Malaysia 2021 dan muncul finalis Piala AFC 2022.
“Sudah pasti kami masih berpeluang meneruskan kemaraan walaupun ia kelihatan sukar. Aksi berdepan Hanoi dan Buriram selepas ini hanya dua perlawanan yang tiada perlawanan timbal balik, jadi kami hanya perlu pastikan aksi terbaik dalam dua perlawanan itu.
“Kuala Lumpur sebelum ini adalah pakar kejohanan kerana apabila bersaing dalam kejohanan sebegini, kebiasaannya kami berjaya meraih keputusan positif,” kata Brendan yang kini semakin beransur pulih daripada kecederaan betis dialami ketika berdepan Johor Darul Ta’zim dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia, 21 Disember lalu.
#Kejuaraan Kelab ASEAN #Piala Shopee
;