Skip to main content

Bola Sepak

Piala Presiden: T-Team pilih laluan sukar, Terengganu miliki kelebihan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

piala-presiden-t-team-220917.jpg
Jurulatih T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui anak-anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar selepas sekadar seri 1-1 dengan Terengganu dalam aksi suku akhir pertama Piala Presiden di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Menurut bekas ketua pasukan kebangsaan itu, beberapa pemain tonggak juga gagal berfungsi dengan baik sehingga membenarkan pasukan lawan menguasai permainan.

Tengku Hazman berkata, kecederaan yang dialami Muhamad Zuasyraf Zulkiefle pada babak kedua turut menjadi punca jentera tengah T-Team hilang rentak untuk melakukan serangan.

“Ketiadaan Zuasyraf menyaksikan kami beraksi lebih bertahan dan moral pasukan menjunam selepas Terengganu menyamakan kedudukan.

“Sepatutnya pemain-pemain terus melakukan serangan tetapi sebaliknya berlaku, kami memperlahankan permainan.

“Saya sudah menjangkakan perkara ini kerana beraksi sesama sendiri menyebabkan ada lebih tekanan kepada pemain-pemain,” ujar Tengku Hazman lagi.

Dalam perlawanan itu, naib juara Piala Presiden musim lalu, T-Team, terlebih dahulu mendahului pada minit ke-30 menerusi Muhamad Akram Asidi yang menyudahkan lorongan Aizat Hanafi.



Aksi lebih rancak ditunjukkan pada babak kedua yang dikuasai Terengganu dengan percubaan Mohammad Ridzuan Mohd Razali pada minit ke-47 dan minit ke-57, namun dinafikan palang gol.

Mohd Ridzuan, begitupun, tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81, sekaligus memberikan kelebihan gol di tempat lawan buat pasukannya.

Keputusan itu jelas melegakan jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, yang menyifatkan pasukannya beraksi dengan fokus dan berdisiplin untuk memburu gol.

Tambahnya, walaupun beraksi tanpa dua penyerang utama akibat kecederaan jangka panjang, pemain-pemain simpanan menunjukkan peranan yang berkesan.

“Memang sasaran kami untuk seri dengan jaringan gol di tempat lawan. Saya harap barisan pemain mengekalkan momentum untuk ke separuh akhir,” katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video