PIALA PRESIDEN
Piala Presiden: T-Team buat rombakan hadapi ATM
Pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Tengku Hazman Raja Hassan, berkata mereka akan turun dengan percaturan berbeza ketika berdepan pasukan tangga tercorot, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam aksi Kumpulan B, petang esok.
“Jadual kami agak padat selepas ini dengan lima perlawanan pada April dan empat perlawanan pada Mei.
“Saya akan membuat sedikit rombakan untuk memastikan pemain mendapat rehat secukupnya kerana kami tidak mahu keciciran mata.
Iklan
“Diharapkan pemain-pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan memandangkan tugas lebih getir menanti selepas ini,” katanya.
T-Team kini di kedudukan kedua dengan mengumpul lapan mata dan mengekori pendahulu kumpulan, Negeri Sembilan, yang masih unggul dengan 12 mata daripada empat perlawanan.
“Komitmen yang ditunjukkan pemain-pemain cukup menggembirakan, malah ketumpulan penyudah yang merisaukan saya juga sudah dapat diatasi.
“Namun, itu bukan jaminan kerana masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” ujar bekas ketua pasukan negara itu lagi.
Tengku Hazman turut menyifatkan kehadiran semula penyerang prolifik, Muhammad Akram Asidi, sebagai tepat pada masanya untuk menajamkan barisan serangan pasukan itu selepas diketepikan akibat kecederaan serius, tahun lalu.
“Akram menjalani proses pemulihan dan latihan bersama skuad senior dalam Liga Super dan kami diberikan maklum balas yang cukup baik mengenai perkembangannya.
“Kelibatnya cukup dinantikan dan saya akan memberinya peluang beraksi untuk meningkatkan kecergasannya ke tahap terbaik,” tambahnya lagi.
Kredit foto: T-Team FC
Must-Watch Video